KUALA LUMPUR 12 Julai - Tentera Filipina berjaya menumpaskan 40 pemberontak Abu Sayyaf dalam satu serangan di pulau-pulau di selatan negara itu yang bermula minggu lalu.

Menurut jurucakap tentera, kerajaan baharu rancak menghapuskan kumpulan penculikan yang paling hebat di Asia itu.

Pertempuran yang berlaku di pulau Basilan dan Sulu sejak Rabu lalu itu juga membunuh seorang askar dan mencederakan beberapa anggota kumpulan pemberontak Islam, al-Qaeda yang dikaitkan kejadian memengal leher dua tebusan Kanada.

“Pertempuran masih berlaku dan ia melibatkan kenderaan perisai, meriam serta close air support (CAS),” kata jurucakap dari Komando Mindanao Barat, Filemon Tan kepada wartawan, memetik laporan perisikan yang diterima lewat semalam, lapor Reuters.

Abu Sayyaf, yang bermaksud ‘pembawa Pedang’, membelenggu kerajaan Filipina sejak sekian lama.

Mereka mengukuhkan rangkaian dengan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah penculikan yang menuntut wang berjuta dolar sekali gus menjadikannya satu kegiatan jenayah yang paling menguntungkan di Asia.

Buat masa ini, pemberontak itu difahamkan menyimpan sekurang-kurangnya 14 tebusan, seorang dari Belanda dan Norway, lima warga Filipina dan tujuh warga Indonesia.

Tiga warga Indonesia itu telah diculik dari sebuah kapal tunda pada hari Ahad, walau bagaimanapun masih belum ada kepastian jika Abu Sayyaf bertanggungjawab ke atas kejadian itu.

Pakar keselamatan mengakui pemberontak bukan didorong dengan ideologi Islam tetapi jutaan dolar wang tebusan yang diperoleh dari penculikan.

Jelas mereka, wang itu digunakan untuk membiaya pembelian senjata automatik, pelancar bom tangan, bot laju dan berteknologi tinggi peralatan navigasi.