KUALA LUMPUR 11 Julai - Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS dalam sentimen positif, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan didagangkan 4.0050/0110 berbanding 4.0300/0350 pada Jumaat lalu.

Peniaga berkata, unit mata wang tempatan bersama mata wang Asia lain didagangkan lebih tinggi menjejaki data pekerjaan AS yang memberangsangkan sekali gus membantu meredakan kebimbangan terhadap kuasa ekonomi dunia itu.

Peniaga berkata, ekonomi AS menambah 287,000 pekerja baharu bulan lalu melebihi unjuran median dan menunjukkan pemulihan selepas data lemah dalam laporan Mei lalu.

Berbanding mata wang lain, Ringgit didagangkan lebih tinggi.

Ia mengukuh berbanding Dolar Singapura, kepada 2.9726/9775 berbanding 2.9885/9931 dan menambah kepada 3.9724/9804 berbanding 4.0052/0121 yen.

Ringgit naik kepada 5.1777/1870 berbanding 5.2128/2201 dalam dagangannya dengan pound British dan mengukuh berbanding euro kepada 4.4207/4289 berbanding 4.4624/4688 sebelumnya.