LONDON 30 Jun - Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic, dijangka menyelesaikan proses perpindahannya ke Manchester United, Jumaat ini.

Mengikut laporan Daily Mail, Ibrahimovic dijangka mengikat kontrak selama setahun untuk beraksi di Old Trafford.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu bersama kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), dijadual berakhir hari ini.

Jika semua berjalan lancar, pemain Sweden ini adalah bintang kedua diikat oleh Jose Mourinho selepas membawa masuk pemain Ivory Coast, Eric Bailly pada harga STG30 juta (RM161.71 juta).

Dalam aksi terakhir bersama PSG, Ibrahimovic berjaya menjaringkan 38 gol untuk merangkul kejuaraan liga Ligue 1.

Kejayaan itu menyaksikan penyerang sensasi ini memenangi kejuaraan ke-13 sepanjang 15 musim lalu.

Beliau setakat ini belum pernah bermain di England, namun sudah mengecapi kejayaan di Belanda, Sepanyol, Itali dan Perancis.

Mourinho sebelum ini dilapor akan membawa masuk dua lagi pemain bagi mengukuhkan skuadnya musim 2016-2017.

Selepas Ibrahimovic, dia dijangka membida buat kali kedua pemain, Borussia Dortmund Henrik Mkhitaryan. - AGENSI