AYER KEROH 27 Jun - Seorang pemotong rumput terkejut apabila menemui seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira 2.5 meter ketika menjalankan pembersihan longkang di Jalan Gapam, berhampiran sebuah kelab golf, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Ab Karim Neo Abdullah, 40, pada mulanya menyangka haiwan itu biawak, tetapi selepas diamati secara dekat ia adalah buaya tembaga dianggarkan seberat kira-kira 80 kilogram, sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka.

Anggota JPAM yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan reptilia itu seekor buaya tembaga, dipercayai tersesat dari tali air kira-kira 100 meter dari longkang berkenaan.

Pengarah JPAM negeri, Effendy Ali, berkata sejurus menerima panggilan, sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil tempoh kira-kira 30 minit untuk menangkap buaya berkenaan yang bertindak agresif.

"Anggota kita menghadapi kesukaran menangkap reptilia ini kerana berada di dalam longkang yang agak dalam.

"Sebaik berjaya ditangkap, ia diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh, berkata pemeriksaan mendapati buaya berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun, kita masih belum dapat menentukan jantina dan umurnya. Buat masa ini, buaya berkenaan akan dikuarantin sebelum dilepaskan ke Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor dalam tempoh terdekat," katanya.