Nada keras dizahirkan oleh PAS apabila parti Islam itu menolak sebarang rundingan dan bertegas akan meletakkan calon. Manakala, AMANAH daripada Pakatan Harapan (PH) pula yakin akan berjaya menawan hati pengundi Sungai Besar.

Desakan demi desakan daripada PAS dan AMANAH menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terang-terangan tersepit untuk memberikan sokongan kepada yang mana satu.

Hal ini kerana sebagai orang nombor satu dalam negeri, Azmin harus menjaga kestabilan pentadbiran negeri yang masih melibatkan PAS dan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Malah, sewaktu majlis memperkenalkan calon PH di Sekinchan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu beliau menasihatkan Azmin supaya tidak hadir pada majlis pengisytiharan calon itu.

“Azmin Ali kita tahu dia mesti menjaga kerajaan beliau. Azmin menteri besar. Itu kita memang faham, dia ada satu kedudukan untuk menjaga kerajaan pakatan yang dulu,” kata Wan Azizah.

Sebelum majlis memperkenalkan calon PH diadakan, situasinya berbeza apabila timbalan presiden PKR itu dilihat kerap dan mula mengadakan program bagi mendekati pengundi Sungai Besar.

Namun, setelah rundingan yang dijalankan antara PAS dan PH tidak berjaya sementara AMANAH terus mendesak agar diberikan peluang, Azmin membatalkan tempahan yang pada mulanya dirancang untuk digunakan jenteranya.

Perkara ini dilaporkan watan-online.com yang memetik sumber. Azmin menarik semula bantuan kewangan yang akan diagih-agihkan ketika berkempen seperti peruntukan membaiki surau dan masjid.

Sehingga kini, PAS masih menjalankan kempen secara bersendirian tanpa dibantu bekas rakan sekutunya DAP dan PKR. - Free Malaysia Today