KUALA LUMPUR 29 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa generasi muda agar tidak mudah mengkritik setiap keputusan dilakukan kerajaan.

Sebaliknya tegas beliau, mereka perlu menumpukan kepada usaha memberi cadangan yang lebih baik demi kebaikan negara.

"Mudah untuk kita mengkritik kerajaan tetapi amat sukar untuk kita memberi cadangan alternatif yang lebih baik lagi. Inilah yang nak saya tegaskan pada generasi muda hari ini, kita boleh kritik tetapi lebih baik kita bagi cadangan yang lebih beruntung daripada kita hanya mengkritik tetapi kita tak mampu mengeluarkan pendapat yang lain atau lebih bernas," katanya semasa berucap melancarkan Program Felo Perdana 2016 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Jelas Najib, beliau mahu generasi muda faham bahawa tiada pilihan yang mudah bagi kerajaan untuk membuat keputusan.

"Saya bagi contoh, kita ada pertimbangan yang pertamanya ada konflik seperti katalah kita nak naikkan harga minyak ,kita tahu tak popular, tetapi kalau kita tak naikkan harga minyak, kita kena keluarkan subsidi, kalau keluar subsidi orang tak sedar ini adalah public fund. Fund yang kita boleh gunakan untuk buat jalan kampung, perumahan, dan pembangunan," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, keputusan perlu dibuat dalam menentukan pilihan untuk kebaikan rakyat.

"Soalnya keputusan perlu dibuat. Apa dia? Sebab itu program felo ini berguna ,baik dan memahami di sebalik seseuatu keputusan," ujarnya.

Dalam pada itu menurut Najib, kejayaaan seorang insan pada masa hadapan tidak hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata.

Namun, ia juga memerlukan aspek kepimpinan yang dilihat besar pengertiannya.

"Ia melibatkan soal ketegasan , kemampuan kita untuk memahami sesuatu permasalahan yang kompleks, hubungan kita dengan mereka yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari kita, dan mereka yang merupakan our peers dan sebagainya. Sebab itulah apabila kita menyertai program felo ini, kita dapat tahu bahawa kita tahu soal mentadbir sebuah negara apatah lagi negara yang begitu diverse macam Malaysia,it is complex challenge," ujar Perdana Menteri.

Setiap cabaran yang terpaksa dilalui kerajaan katanya tidak semudah pada pandangan mata kasar semata-mata.

"Ia tak semudah yang kita lihat dari luar . Bila kita lihat dari luar, mungkin mudah bagi kita untuk memberi pandangan atau mengkritik, tetapi apabila kita di dalam, baharu kita faham rupa-rupanya untuk mentadbir negara berbilang kaum ,agama, budaya, dan bahasa, tidak semudah seperti mana kita lihat dari luar," tambahnya.