KUALA LUMPUR 26 Jun - Kesemua pemimpin serta anggota Umno perlu menerima dengan hati terbuka keputusan pemecatan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun perkara itu agak sukar diterima segelintir pihak, namun ia merupakan keputusan muktamad Majlis Tertinggi parti.

“Memang sukar untuk menerima kewajaran itu 100 peratus tetapi apabila keputusan telah dimuktamadkan badan tertinggi Umno, maka keputusan itu harus diterima dengan hati terbuka dan lapang dada.

“Ketaatan (kepada parti) adalah harga paling mahal yang perlu dibayar,” katanya mengulas tentang pemecatan dua pemimpin utama Umno itu.

Mereka dipecat kerana pelanggaran disiplin parti manakala Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaan dalam parti.

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hypermarket LuLu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya menggesa barisan kepimpinan dan anggota Umno untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti bagi memastikan kelangsungan parti.

“Saya mahu perpaduan diwujudkan semula biarpun ini agak sukar di peringkat awal tetapi saya fikir Umno telah melalui pelbagai era dan dugaan demi dugaan yang mendatang,” katanya.

Justeru, katanya, kaedah penyelesaian bagi sebarang permasalahan perlu dicari secepat mungkin agar Umno terus relevan bukan hanya kepada anggota parti malah kepada rakyat.

“Apabila perpaduan diperkasakan dalam parti, maka Barisan Nasional dapat memacu dan memperkasakan perjuangan selanjutnya,” katanya yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh.

Kepada satu pertanyaan, Ahmad Zahid berkata: “Tiada pemilihan Umno dalam masa terdekat”.