KUALA LUMPUR 22 Jun - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad tidak setuju dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan DAP kerana mudaratnya lebih besar kepada orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, beliau tidak kisah sekiranya Mahathir berkempen dalam kalangan ahli Umno untuk memaksa Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

“Saya juga tidak kisah jika beliau berkempen untuk mendapatkan parlimen meluluskan undi tidak percaya terhadap Najib (bukan terhadap kerajaan BN) dan dengan itu memaksa beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, saya tidak bersetuju Mahathir bersekongkol dengan DAP dan Amanah untuk mengalahkan calon BN kerana mudaratnya lebih besar.

“Janganlah kerana tidak mahu Najib terus menjadi Perdana Menteri hingga sanggup menyerahkan kerajaan kepada pembangkang yang diterajui DAP. Sekali orang Melayu terlepas tampuk pemerintahan, harapan memperolehnya semula amat tipis sekali,” katanya.

Beliau juga bimbang sekiranya tindakan Mahathir itu akan memusnahkan parti yang dipertahankannya sendiri.

“Saya bercakap mengenai ‘kapal’, bukan ‘nakhoda’. Jangan bakar kapal kerana marahkan nakhoda. Jangan bersekongkol dengan ‘nakhoda-nakhoda kapal musuh’ untuk menghumban nakhoda kapal sendiri ke laut," katanya.