KUALA LUMPUR 20 Jun - Tun Dr Mahathir Mohamad digesa kembali semula kepada Allah dengan bertaubat sebenar-benarnya dan itulah perkara yang terbaik perlu dilakukannya di hujung hayat.

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata Dr Mahathir perlu membanyakkan masa berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah.

“Taring Tun Mahathir secara rasminya tercabut. Saya sarankan beliau banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah.

“Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kepada bekas menteri besar Kelantan itu berkata zaman kekuatan Dr Mahathir ketika bertempur dengan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz sudah berakhir.

Katanya, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan petunjuk awal kekuatan sebenar PAS selepas berjaya melepasi krisis dalaman yang menyaksikan terkeluarnya anasir lemah dan buruk selain cubaan mengubah hala tuju perjuangan PAS.

“PRK kali ini peluang terbaik PAS untuk melihat tahap sokongan dan kekuatannya di bawah. Ia sokongan paling tepat terhadap PAS setelah ia bersendiri bersama IKATAN di dalam blok ketiganya yang baharu,” katanya.

Malah, ahli Parlimen Pasir MAS itu percaya PAS akan berjaya menepis sangkaan dan tuduhan bahawa parti Islam itu merupakan kuda tunggangan Umno.

“Ketika PAS bersama DAP, PAS dituduh Umno sebagai tunggangan DAP. Ketika PAS berpecah dengan DAP, PAS dituduh DAP sebagai tunggangan Umno.

“Sebagaimana PAS berjaya keluar daripada tuduhan pertama, PAS pastinya akan berjaya keluar tuduhan kedua dengan selamat dan sejahtera,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir hadir di kedua-dua PRK dan bertindak menyokong calon Amanah. Bukan itu saja, beliau turut menggesa pengundi menolak PAS dan mengundi parti Islam itu sama seperti mengundi Umno.

PAS yang turut bertanding dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu tewas di kedua-dua kerusi.