KUALA LUMPUR 20 Jun - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 dan 9,191 adalah bersamaan peningkatan majoriti 23.03 dan 6.44 kali ganda di kedua-dua kawasan berkenaan.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia sekali gus signal rakyat menolak sebarang referendum yang menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Undi BN (16,800) di Sungai Besar adalah 2,289 undi lebih banyak dari undi PAS (6,902) dan Parti Amanah Negara (PAN) (7,609).

"Undi BN (12,653) di Kuala Kangsar adalah 2,086 undi lebih banyak dari undi PAS (5,684) dan PAN (4,883)," katanya memetik laporan Astro Awani.

Tegasnya, keputusan itu juga membuktikan Pakatan Harapan sebagai pasukan yang gagal berpakat dan tidak memberi sebarang harapan kepada rakyat.

"Di sebalik fitnah, celaan dan penghinaan, akhirnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rakyat ternyata menerima kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan menolak Deklarasi Rakyat yang dianjur Mahathir serta Lim Kit Siang.

"Selain itu komponen utama BN seperti MCA, MIC dan Gerakan jelas mempertontonkan kematangan mereka dengan mengenepikan perbezaan berhubung Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah dan memberi fokus berkerja kuat untuk BN.

"Rakyat juga ternyata telah lali dengan fitnah pembangkang berhubung 1MDB, derma 2.6 bilion dan GST," jelasnya.

Katanya lagi, BN kini mempunyai jentera jalinan rakyat, penerangan bersemuka dan jentera cyber yang mampu memberikan tentangan hebat kepada pembangkang.

"Gandingan Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga jelas diuji dengan pelbagai dugaan, kini sudah bersedia untuk pemimpin BN bagi memenangi PRU ke-14 dengan majoriti 2/3 pada bila-bila masa dari sekarang," ujarnya.
BN pada Sabtu berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi telah menewaskan dua calon lain dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.

Manakala di Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.