SUNGAI BESAR 17 Jun - Lebih 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) membanjiri Command Centre Pasir Panjang di sini bagi mendengar amanat terakhir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, beliau amat kagum dengan semangat yang dibawa kesemua jentera dan penyokong BN Sungai Besar.

"Saya cukup kagum dgn seluruh jentera dan penyokong BN di Sungai Besar.

"Semangat yang kuat ini harus dipertahankan oleh kita semua.

"Dan saya juga amat yakin walaupun pihak pembangkang mengadakan perjumpaan saat akhir pada malam ini, jumlah penyokong mereka tidak seramai kita," katanya disorak dengan laungan Hidup BN.

Turut hadir termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos dan Ketua Puteri UMNO Malaysia,Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi dengan calon PAS Dr Abdul Rani Othman dan calon PAN, Azhar Abdul Shukur.

PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.