SUNGAI BESAR 17 Jun – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Setiausaha Agong PKR, Rafizi Ramli atas keberaniannya mendedahkan skandal rasuah seks yang melanda kerajaan Negeri Selangor kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga mendesak pihak SPRM turut menyiasat secara terperinci skandal ini yang dikhuatiri turut melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rafizi supaya saya harap setelah kertas siasatan dibuka terhadap orang-orang kanan Menteri Besar, ianya akan menjurus siasatan terhadap Menteri Besar.

“Hasil daripada pendedahan Rafizi ini, kami berharap SPRM menjalankan siasatan yang lebih terperinci dan saya amat yakin peruntukan-peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri ini melalui PPT ataupun sebagainya akan sama jugalah berlaku seperti mana yang di tahan oleh SPRM terhadap yang kita gelar ‘monkey’ ini,” katanya ketika sidang media petang tadi.

Turut hadir bekas Pengasas Parti Keadilan Nasional, Ng Lum Yong.

Beliau menegaskan, pembongkaran skandal ini juga membuktikan ketidaktelusan sebuah Kerajaan Negeri yang dicanang sebagai amanah, jujur dan telus.

“Jadi bagi saya inilah sebuah kerajaan yang selalu melaung-laungkan amanah, kejujuran, ketulusan tetapi akhirnya apa yang berlaku kepada mereka.

“Saya berharap setiap apa yang diberlaku di kerajaan negeri terutama orang-orang kanan Menteri Besar ini disiasat,” ujarnya.

Semalam, SPRM telah menahan bekas Ahli Parlimen PKR Kapar, S. Manickavasagam atas tuduhan skandal rasuah.

S. Manickavasagam merupakan antara pimpinan yang kuat mendokong kepimpinan Azmin Ali.