SEKINCHAN 13 Jun - Keputusan memperkenalkan bas percuma di bawah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bukan sahaja gagal memberikan perkhidmatan terbaik malah turut membebankan pemandu-pemandu teksi di Selangor khususnya di kawasan Sungai Besar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos berkata, pendapatan pemandu-pemandu teksi di sini semakin berkurangan malah tiada sebarang tindakan pihak Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ceramah Isu-Isu Semasa anjuran Gabungan NGO Negeri Selangor di sini malam ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Pemandu Teksi Pekan Sekinchan menyelar tindakan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang dilihat tidak mengambil berat terhadap pemandu-pemandu teksi di sini dan menganggap beliau sebagai seorang ‘Bodoh’.

Malah pertubuhan tersebut menyelar Kerajaan Negeri yang tidak membantu mereka dalam menanggani masalah mereka bahkan memarahi mereka kerana menyokong Barisan Nasional pada pilihanraya yang terdahulu.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar turut mempertikaikan pendirian Azmin dalam memberikan sokongan terhadap Parti Amanah Negara ataupun PAS selaku rakan parti dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, lebih malang lagi apabila Azmin mengambil keputusan menarik semula peruntukan bagi membiayai Pilihan Raya Kecil Sungai Besar akibat pertembungan kedua-dua parti pembangkang ini.

Beliau juga mengulangi kecaman terhadap parti pembangkang terutamanya DAP dan PAN yang memfitnah beliau dengan memainkan isu perkauman menerusi papan iklan yang dipaparkan di sekitar pekan Sekinchan baru-baru ini.

Tegasnya, ianya membuktikan sikap provokasi pembangkang dan ketandusan isu dalam membela nasib masyarakat di sini.