SUNGAI BESAR 10 Jun - Kesemua parti politik digesa mematuhi etika sepanjang menjalankan Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap sebarang kempen yang mengapi-apikan perkauman.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengundi dan masyarakat di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, di sini hari ini.

Turut hadir mengiringi beliau termasuk Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato Jamal Md Yunos, calon Barisan Nasional (BN) PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Haji Mohamad Haji Hasan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dato' Irmohizam Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN menjelaskan, pihaknya telah menerima 9 laporan berhubung papan iklan kempen yang berbau perkauman sekitar Sekinchan baru-baru ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid telah mengunjungi Bazaar Ramadhan Sekinchan dan disambut meriah masyarakat di kawasan berkenaan termasuk dari kalangan kaum cina.