KUALA LUMPUR 10 Jun - ADUN Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim mempertahankan kenyataannya untuk meraikan kejayaan dengan menimun arak sekiranya AMANAH mendapat undi lebih banyak berbanding PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, beliau cukup kesal dengan tindakan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang mempersoalkan hak beliau sebagai orang bukan Islam untuk minum arak, kerana perkara itu jelas bertentangan dengan perlembagaan negara.

Jelas Suee Lim lagi, kenyataannya untuk meraikan kejayaan dengan meminum arak langsung tidak ada kaitan dengan orang Islam.

“Saya cukup kesal kerana mereka (PAS) mempersoalkan hak saya sebagai bukan Islam untuk minum arak. Saya ada hak untuk minum arak bersama rakan-rakan saya yang bukan Islam, mereka tidak sewajarnya mempertikaikan hak saya untuk minum.

“Itu hak saya mengikut perlembagaan dan harus dihormati hak saya bukan Islam untuk minum, sama seperti orang Islam meminta bukan Islam menghormati hak orang Islam.

“Saya minta dalam konteks ini, saya tidak pernah menjemput orang Melayu Islam datang bersama saya untuk minum (arak), itu saya tahu tidak boleh, orang Islam minum (arak) tidak boleh…hukumnya haram,” katanya kepada FMT hari ini.

Menerusi penjelasan itu, Suee Lim turut menyifatkan sikap pemimpin PAS sejak kebelakangan ini seperti UMNO yang sering memainkan sentimen agama dan perkauman.

“Mereka (PAS) sekarang seperti UMNO suka memainkan sentimen Melayu Islam, sedangkan saya tidak pernah menyatakan perkara sedemikian. Saya hanya nyatakan saya mahu minum dengan kawan saya yang bukan Islam…tidak boleh ke?” soal Suee Lim.

Semalam, Joceline Tan melalui kolumnya di akhbar The Star mendedahkan Suee Lim dalam sebuah ceramah di Sungai Besar berkata jika AMANAH memperoleh undi lebih banyak daripada PAS, “kami boleh raikan dengan Carlsberg, Tiger dan or kau (Guinness Stout)”.

Hari ini, Nasrudin melalui Facebooknya membidas Suee Lim angkuh dan menegaskan ADUN Sekinchan itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkenaan memandangkan calon AMANAH yang bertanding di kedua-dua PRK itu adalah umat Islam.