KUALA LUMPUR 4 Jun - Proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan bermula 9 pagi esok di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

Bagi PRK Sungai Besar, pusat penamaan calon diadakan di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam dan PRK Kuala Kangsar diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.

Proses penamaan calon itu berlangsung dari 9 hingga 10 pagi.

PRK dua kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Tan Sri Noriah Kasnon bagi kerusi Sungai Besar dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bagi kerusi Kuala Kangsar, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Setakat ini, kedua-dua kawasan PRK itu dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Pas dan Amanah yang mewakili Pakatan Harapan, iaitu gabunan parti PKR-DAP-Amanah.

Di PRK Sungai Besar, BN menamakan Adun Pasir Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calonnya, Pas meletakkan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala Amanah menamakan pengerusi parti itu bagi kawasan Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Pertembungan ketiga-kita calon itu dijangka sengit berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang menyaksikan Noriah, yang menyandang kerusi itu sejak Pilihan Raya Umum 2004, menewaskan pencabarnya dari Pas Mohamed Salleh M.
Hussin dengan majoriti 399 undi.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Di PRK Kuala Kangsar, BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, isteri Wan Mohammad Khair-il Anuar, sebagai calonnya.

Pas pula mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Peraknya, Dr Najihatussalehah Ahmad manakala Amanah menamakan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Termizi Ramli.

Penolong setiausaha Pemuda Umno Cawangan Taman Cempaka di Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail baru-baru ini mengumumkam di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar kerana kecewa dengan keputusan BN berhubung pemilihan calon.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, pada 31 Mei lepas berkata Syed Rosli berdepan tindakan dipecat daripada Umno sekiranya bertanding sebagai calon Bebas.

Seramai 32,949 orang layak mengundi pada PRK Kuala Kangsar mengikut daftar pemilih SPR sehingga 7 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Wan Mohammad Khair-il menang dengan majoriti 1,082 undi untuk menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.