KUALA KANGSAR 2 Jun - Pakatan Harapan mempertaruh calon tempatan apabila mengumumkan Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon mereka bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden parti itu, Mohamad Sabu pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan P067 Kuala Kangsar, di sini, sebentar tadi.

Ahmad Termizi, 61, yang lahir di Kampung Suak Petai, Manong, di sini, merupakan bekas profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan ahli jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.

Pernah menjadi Presiden Kesatuan Melayu United Kingdom ketika zaman pengajiannya di United Kingdom, Ahmad Termizi yang juga pakar nuklear banyak menyumbang kepada negara dalam bidang kajian tenaga atom dan nuklear.

Beliau merupakan Ahli Panel Pakar Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sejak tahun 1992 selain pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Persijilan Pegawai Perlindungan Sinaran, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Kementerian Teknologi dan Alam Sekitar tahun 1995-2003.

Dalam bidang politik pula, Ahmad Termizi merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa Amanah Nasional, Ahli Jawatankuasa Biro Politik Amanah Perak dan Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala Kangsar.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan yang lain.