PENGKALAN CHEPA 2 Jun - Pembangunan di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu mencerminkan penghapusan etnik secara halus, dakwa perwakilan PAS Pulau Pinang hari ini.

Berucap di Muktamar PAS Pusat ke-62, Yaakob Omar mengulangi sentimen yang dibawa perwakilan Pemuda PAS Pulau Pinang semalam yang menuntut undang-undang tanah rizab Melayu yang baharu di negeri itu.

Yaakob mendakwa pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang susut daripada 28% pada 2010 kepada 20% dalam masa sesingkat lima tahun sahaja.

“Kita boleh salahkan orang lain, adakalanya kita perlu salahkan diri sendiri.”

Yaakob mengutarakan beberapa sebab yang membawa kepada kesusutan pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang, antaranya orang Melayu mudah terpikat dengan janji-janji manis pemaju dan orang tengah berbangsa Melayu supaya melepaskan tanah mereka.

Beliau mendakwa agensi kerajaan tidak membantu orang Melayu, terutamanya di Pulau Pinang, dimana dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri tidak melindungi masyarakat Melayu.

“Kemudian, terdapatnya juga isu kepimpinan yang tidak jujur, yang hanya berminat dengan projek-projek.

“Kita boleh simpulkan bahawa pembangunan tanah di Pulau Pinang adalah penghapusan etnik secara halus. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada orang Melayu di Pulau Pinang dalam masa lima ke 10 tahun.”

Yaakob turut menggesa saki-baki tanah yang dimiliki orang Melayu Pulau Pinang dilindungi, dan menyeru dasar tanah rizab Melayu baharu di negeri itu.

Yaakob turut membidas kerajaan negeri pimpinan DAP kerana gagal melindungi alam sekitar, antaranya penggondolan bukit-bukit di pulau.

Beliau turut mendakwa projek Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang boleh merosakkan alam sekitar dan memberi impak negatif keatas kehidupan masyarakat nelayan Melayu di Teluk Kumbar.