KUALA LUMPUR 22 Jun - Tindakan gantung lesen dan permit akan diambil terhadap pemandu-pemandu teksi yang didapati bersalah menyerang pemandu Uber dan penumpangnya baru-baru ini.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata serangan itu telah merosakkan imej suruhanjaya.

“Kita di SPAD bekerja bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu-isu semasa yang melanda industri teksi.

“Kami agak bimbang dengan laporan media yang menuduh pemandu teksi telah menyerang pemandu Uber. Kami menggesa semua pihak yang mempunyai maklumat membuat laporan polis agar pihak yang bersalah ini dibawa ke muka pengadilan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah dalam satu kenyataan.

Isnin lepas lebih 50 pemandu teksi didakwa menyerang seorang pemandu Uber yang sedang membawa sepasang pelancong Iran dan telah mengakibatkan kecederaan pada pelancong wanita itu dan kerosakan pada kereta terbabit.

China Press melaporkan gerombolan pemandu teksi terlibat “bersembunyi” di KL Sentral dan menyerang mangsa sebaik pasangan Iran menaiki kereta pemandu Uber.

Pemandu dan pasangan yang baru mendarat di Malaysia itu ditarik keluar daripada kereta sebelum gerombolan suspek menggunakan batu untuk memecahkan tingkap kereta.

SPAD mahu bekerjsama dengan polis menyiasat kejadian itu.

“Kita juga meminta PDRM menyiasat perkara itu dengan segera dan meminta pihak yang mempunyai bukti untuk memberikan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.