KUALA LUMPUR 22 Jun - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang beragama Islam dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing bagi menyambut Aidilfitri di bawah rancangan pengampunan atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berbuat demikian sekiranya mereka mendapatkan dokumen perjalanan sementara daripada kedutaan atau suruhanjaya tinggi masing-masing, lapor NST Online.

Zahid berkata, keputusan memberi pengampunan kepada PATI diambil selepas perbincangan dengan beberapa kerajaan yang mempunyai PATI beragama Islam, termasuk Indonesia, Bangladesh dan Kemboja.

Perbincangan juga termasuk membenarkan PATI mengambil pengangkutan yang sah agar dapat pulang dengan selamat.

“Bagaimanapun, apabila mereka meninggalkan Malaysia, pendatang asing tanpa izin ini akan dibenarkan kembali sekiranya mereka mempunyai permit kerja yang betul,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di Bagan Datoh, Teluk Intan hari ini.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya terdapat 250,000 PATI yang bekerja di Malaysia dan berharap mereka akan mengambil peluang pengampunan ini untuk meninggalkan negara ini.

Zahid berkata, agensi penguatkuasa akan terus mengambil tindakan terhadap PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau mereka yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan haram.