SEKINCHAN 11 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu pengambilan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ahmad Zahid sebaliknya, berkata usaha memperkasa anggota RELA perlu disokong oleh semua pihak kerana fungsinya kini semakin meluas, termasuk bersedia pada bila-bila masa untuk menjadi benteng hadapan bersama-sama polis dan tentera.

"Sekarang ini ada 3.8 juta anggota RELA dan sasaran pada akhir 2017 ialah tidak kurang lima juta orang akan jadi (sertai) RELA. Jadi, ketepikan politik, agama, bangsa dan budaya kerana jika mahu menjadi negara maju rakyatnya perlulah bersatu padu.

"Percayalah apabila kita menjadi (anggota) RELA, silang budaya secara automatiknya akan berlaku, yang mana rakyat berbilang bangsa akan bersatu padu," katanya berucap pada Program RELA Bersama Pemimpin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah dan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, pengambilan anggota RELA perlu disaring supaya bebas daripada pengaruh gangster, penjahat dan penjenayah, termasuk warga asing.

"RELA perlu bersih daripada semua benda negatif dan imej ini perlu dijaga kerana peranan jabatan itu semakin penting, bukan lagi sekadar menjaga majlis kenduri dan keraian atau gotong-royong," katanya.