SUNGAI BESAR 10 Jun - Kerajaan Selangor lebih gemar berpolitik berbanding mengutamakan kebajikan rakyat apabila menyukarkan usaha kerajaan Persekutuan menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat khususnya golongan petani.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) Tan Sri Noh Omar berkata ini dapat dilihat apabila kerajaan negeri mengenakan denda dan bayaran permit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menaik taraf terusan utama serta kolam takungan bagi sumber air sawah di Panchang Bedena dan Bagan Terap di sini.

"Kerajaan negeri mengenakan kompaun sebanyak RM650,000 bagi ganti rugi tebang pokok dan RM150,000 bagi 15 buah jentera yang digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf terusan utama dan terusan 'feeder'.

"Bagi pembinaan kolam takungan, selain dikenakan denda RM114,238 untuk ganti rugi tebang pokok, kerajaan Persekutuan dikenakan bayaran permit penggunaan tanah RM62,271 setiap tahun. Kita dah mula bayar mulai 2012, jadi persoalannya rakyat kena lihat khususnya petani di Sungai Besar, apakah sumbangan kerajaan negeri dalam memberi pembelaan kepada mereka," katanya kepada pemberita.

Noh berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke projek kolam takungan pertanian di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Sungai Panjang, di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membayar denda itu dan meneruskan projek berkenaan bagi membela nasib hampir 7,000 golongan petani di Sungai Besar.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu mengadakan lawatan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Panjang di sini, dan memberi jaminan bahawa 186 pelajar pengambilan pertama akan memulakan pembelajaran di sekolah baharu itu selewat-lewatnya Ogos ini.

Noh berkata kesemua pelajar itu pada masa ini ditempatkan di MRSM Kuala Kangsar, Perak, sejak awal tahun ini berikutan MRSM Sungai Panjang belum mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) ekoran sistem kumbahan masih belum disempurnakan pihak pemaju.

Projek pembinaan MRSM yang menelan kos RM46 juta itu dibuat di atas tapak seluas 13 hektar di kawasan tanah paya gambut.

"MRSM Sungai Besar ini mampu menampung 900 pelajar yang mana pengambilan pertama pelajar tingkatan satu pada Januari tahun ini, diikuti pengambilaN pelajar tingkatan empat pada masa akan datang.

"MRSM ini yang sepatutnya mula beroperasi Jun tahun lepas masih belum dapat digunakan kerana masalah teknikal. Pihak IWK (Indah Water Konsortium) telah turun padang dan melihat sistem kumbahan serta membuat teguran bahawa keadaan tanah di kawasan itu jenis gambut dan lembut sedikit.

"Bagaimanapun, kita yakin semua pelajar terbabit akan dapat memulakan pembelajaran di sini selepas hari raya nanti," katanya.

MRSM Sungai Panjang merupakan MRSM keempat di negara ini yang akan melaksanakan konsep 'Ulul Albab' bagi melahirkan ulama profesional yang menguasai bidang sains, agama dan teknologi.

Tiga MRSM lain ialah MRSM Besut, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan dan MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang.