BANJARNEGARA 20 Jun - Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 35 orang, ujar pihak berkuasa pada Ahad, sementara pasukan menyelamat terus bertindak di kampung-kampung terjejas untuk mencari mangsa yang masih hidup.

Sejumlah 25 orang masih hilang berikutan kejadian hujan lebat dan bah besar di Jawa Tengah, dengan ribuan buah rumah sudah ditenggelami air.

Kawasan yang berpopulasi padat dilihat lebih cenderung untuk berlaku tanah runtuh, selain pemandu kenderaan terperangkap di jalan raya sementara banyak kediaman musnah akibat dihanyutkan arus yang turut membawa lumpur dan bongkah batu.

Terdahulu, jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho, berkata bilangan mangsa meningkat selepas tujuh orang yang dipercayai hilang akhirnya dijumpai terkorban.

“BIlangan yang terkorban akibat bencana di Jawa Tengah kini 35 orang sementara 25 masih hilang dan 14 cedera," kata Sutupo kepada AFP sambil menambah daerah Purworejo paling teruk terjejas.

Di Banjarnegara, yang telah mengorbankan enam orang dalam limpahan lumpur, penduduk setempat bersiap sedia dengan kemungkinan banjir yang lebih buruk. Petugas kecemasan kini giat membersihkan jalan raya daripada dihalang batu serta pokok yang tumbang.

Di beberapa tempat lain, mangsa bukan saja dihanyutkan arus, malah ada yang tertimbus dalam kediaman akibat banjir lumpur yang melanda kampung mereka.

Di sebuah wilayah, sembilan orang maut ketika mereka sedang membersihkan halangan di atas jalan raya.

“Tiba-tiba tanah runtuh yang kuat menghentam kenderaan dan orang di jalan raya. Sembilan mayat telah ditemukan,” ujar Sutopo dalam satu kenyataan.

Pusat-pusat pemindahan, yang dilengkapi tempat perlindungan dan dapur, telah didirikan berdekatan zon bencana.
Rakaman yang disiarkan oleh stesen penyiaran tempatan menunjukkan orang kampung naik ke atas bumbung mereka untuk mengelakkan daripada paras air yang semakin naik, sementara kereta dan rumah mereka hampir ditenggelami air bah keruh.

Kejadian banjir dan tanah runtuh bukan asing bagi Indonesia yang lazim dibadai hujan lebat dan bencana alam lain.

Bulan lalu, 15 pelajar yang sedang bercuti di sebuah lokasi pelancongan di barat Indonesia terkorban apabila banjir lumpur meranapkan kawasan perkhemahan mereka.