LOUISVILLE 10 Jun - Solat jenazah legenda tinju dunia, Muhammad Ali hari ini disertai ribuan orang ramai di kampung halamannya di Louisville, Kentucky.

Dianggarkan lebih 14,000 orang yang mewakili pelbagai kaum dan kepercayaan menyertai sembahyang jenazah sebelum pengebumiannya.

Ali, juara tiga kali tinju heavyweight dunia yang terkenal sebagai ahli sukan dengan kelincahannya di dalam dan luar gelanggang, sebagai aktivis politik dan pejuang hak asasi manusia, meninggal dunia Jumaat lalu di hospital Arizona. Allahyarham berusia 74 tahun.

"Pemergian Muhammad Ali menjadikan kami semua kesunyian di dunia," kata Sherman Jackson, tokoh pendidik Muslim di University of Southern California.

"Sesuatu yang kukuh, sesuatu yang besar, indah dan kekuatan hidup sudah tertinggal di dunia ini," kata Sherman merujuk kepada Ali yang tidak pernah menyerah kalah lebih tiga tahun di tengah kemuncak kariernya ketika enggan menyertai khidmat tentera Amerika Syarikat (AS) di Perang Vietnam.

Sherman memuji Ali kerana bertanggungjawab menaikkan maruah kaum kulit hitam semasa dan selepas revolusi hak awam pada 1960-an.

Ramai pula yang terpikat dengan Ali kerana menjadikan Islam lebih diterima di AS dan menjadikan orang Islam di negara itu sebagai pejuang yang sama kedudukannya dengan warga Amerika lain.

Imam Zaid Shakir, pengasas kepada Sekolah Muslim Liberal di Zaytuna College, Berkeley, California, mengetuai solat jenazah berkenaan dengan laungan bergema"Allahu Akbar", dengan di depannya keranda mayat Ali yang diselimuti kain warna hitam dan emas.

Presiden Barack Obama dalam akaun Facebooknya semalam, yang disiarkan secara langsung dari Rumah Putih memberi ucapan takziah sambil memegang senaskhah buku, "GOAT: A Tribute to Muhammad Ali," dan menandatangani sepasang sarung tangan tinju yang diberikan oleh Ali kepadanya.

"Adalah amat jarang sekali seorang tokoh mencetuskan satu imaginasi kepada seluruh dunia. Dia adalah antara salah seorang dan dalam buku saya ini dialah sentiasa yang terhebat," kata Obama.

Ali dijangka dikebumikan lewat hari ini selepas satu upacara penghormatan awam yang dijangka turut dihadiri oleh bekas Presiden AS, Bill Clinton, Presiden Turki, Tayyip Erdogan dan pelawat terkenal, Billy Crystal yang berlangsung di KFC Yum Center.

"Ali tidak akan 'mati'. Semangatnya terus hidup," kata promoter tinju, Don King kepada Reuters dari Freedom Hall, kompleks di mana Ali menumbangkan Willi Besmanoff pada 1961, iaitu pertarungan terakhirnya di Louisville.

Mereka yang turut memberikan penghormatan terakhir ialah pejuang hak asasi AS, Jesse Jackson dan penyanyi Yusuf Islam, yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens.

Sementara itu seorang peminat Ali, Ali Shah, 45, datang dari California untuk menghadiri pengebumian juara tinju dunia itu.

"Saya tidak kisah menghabiskan beberapa hari untuk datang ke sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada hero yang menjadi sumber inspirasi saya," katanya. - REUTERS