OLD BAILEY 6 Jun - Pedofil dari Britain, Richard Huckle dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di di sini hari ini.

Menurut agensi berita berpangkalan di UK, The Telegraph hari ini melaporkan hakim, Peter Rook QC menjatuhkan 23 hukuman penjara seumur hidup ke atas lelaki berusia 30 tahun itu yang merupakan pedofil paling teruk dalam sejarah Britain.

Dia didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak Malaysia serta memuat naik rakaman video-video tindakan jijiknya itu ke laman sesawang gelap.

Jurugambar sambilan dari Ashford di Kent itu mengaku bersalah mencabul kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun sejak 2006 hingga 2014.

Dia menyamar sebagai penganut Kristian yang warak, dermawan dan guru bahasa Inggeris yang menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga miskin di Kuala Lumpur sepanjang tempoh sembilan tahun.

Gambar-gambar dan video serangan seksual dan pencabulan ke atas mangsa dikongsi pedofil seluruh dunia menerusi laman sesawang gelap TLZ – The Love Zone yang tidak wujud lagi.

Seramai 23 kanak-kanak dikenal pasti daripada 71 pertuduhan, meskipun ramai lagi yang menjadi mangsa pencabulan dan penderaannya.

Tertuduh pada awalnya menafikan semua 91 pertuduhan, sebelum mengaku bersalah terhadap 71 daripada pertuduhan itu dalam satu siri perbicaraan, termasuk 14 dakwaan rogol dan 31 serangan seksual.

Richard ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada Disember 2014 setibanya dari Malaysia untuk meraikan sambutan Krismas di Britain.