TETELCINGA 4 Jun - Janin dan dua kanak-kanak antara 117 mayat ditemui di dalam sebuah kubur besar yang dibuat pihak berkuasa Mexico pada 2014, kata pegawai semalam.

Pakar forensik mengambil masa 12 hari untuk menggali lubang yang terletak di tengah negeri Morelos, dan mereka percaya terdapat satu lagi mayat ditanam di kawasan perkuburan dekat Tetelcinga itu.

Peguam Negara Morelos, Javier Perez, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat mengapa mereka hanya mempunyai senarai 116 mayat dan bukannya 117.

Kes ini menimbulkan kemarahan di Mexico selepas lebih 28,000 orang dilaporkan hilang sepanjang dekad keganasan dadah.

Perez berkata, janin bayi perempuan berusia 36 minggu yang hampir cukup bulan itu ditemui mati di atas jalan pada 2012 di Bandar Cuernavaca manakala dua kanak-kanak berkenaan terdiri lelaki berusia dua tahun dan perempuan tujuh tahun.

Kanak-kanak perempuan tujuh tahun itu pula ditemui pada 26 Disember 2012, antara Cuernavaca dan Jiutepec dengan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan di dada.

Budak lelaki berusia dua tahun itu ditemui di dalam sungai pada April 2013, dengan kematian disebabkan oleh kecederaan di kepala. Mayat kanak-kanak berkenaan tidak dituntut.

Undang-undang Mexico membenarkan pihak berkuasa mengebumikan mayat yang tidak dikenal pasti dan tidak dituntut, namun wujud kejanggalan dalam kes di Tetelcingo.

Hanya pada November 2015 penemuan itu diketahui umum. Selepas menerima tekanan, pihak berkuasa bersetuju menggali semula mayat dan membuka siasatan.

Dua bekas pegawai dari pejabat pendakwa negeri sedang disiasat berhubung kes berkenaan. - AFP