TOKYO 3 Jun - Seorang kanak-kanak yang hilang selama tujuh hari di sebuah kawasan pergunungan di Hokkaido, ditemui selamat pagi tadi.

Yamato Tanooka ditemui berlindung di sebuah pangkalan Pasukan Pertahanan Diri (SDF) yang kosong di bandar Shikabe, Hokkaido dalam keadaan lapar dan nyahhidrat.

Menurut laporan The Japan Times, Yamato kemudiannya diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Hakodate dan bersatu dengan keluarganya.

Doktor mengesahkan mangsa mempunyai simptom hipotermia, dehidrasi ringan, malnutrisi, kesan calar serta ruam di lengan dan kakinya.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu memberitahu polis dan anggota penyelamat bahawa beliau tidur dalam sebuah pondok di pangkalan SDF yang terletak kira-kira 5km dari tempat beliau dilaporkan hilang.

“Saya berada di kemudahan SDF sejak malam Sabtu. Saya tiada makanan jadi hanya minum air sahaja,” kata polis yang memetik kanak-kanak itu.

Bapa mangsa, Takayuki Tanooka mengakui “bertindak melampau” dengan meninggalkan anaknya di tepi jalan, tetapi menegaskan ia adalah demi kebaikan anaknya.

Ibu bapa mangsa pada mulanya berbohong kepada polis kononnya anak mereka hilang ketika mereka mencari sayur-sayuran di kawasan Nanae, Sabtu lalu.

Mereka kemudiannya mengaku telah meninggalkan mangsa di tepi jalan dekat kawasan hutan di Hokkaido sebagai hukuman terhadap tindakan kanak-kanak itu melontar batu ke arah kereta dan orang ramai pada 28 Mei lalu.

Tindakan yang pada mulanya bertujuan memberi pengajaran kepada kanak-kanak ‘nakal’ itu kemudiannya mencemaskan ibu bapa yang gagal menemui mangsa selepas mereka kembali ke tempat kejadian lima minit kemudian.

Lebih 180 anggota penyelamat yang terdiri daripada polis, bomba dan SDF telah dikerahkan untuk mencari kanak-kanak terbabit dalam kawasan hutan itu.