Penyanyi Aweera mendedahkan penyakit luar biasa yang dialaminya pada bahagian kerongkong sehingga pernah termuntah hingga mengeluarkan benang.

Bekas vokalis kumpulan Mojo itu berkata, penyakit yang dialaminya sejak tiga bulan lalu semakin kritikal walaupun pihak klinik mengesahkan tiada sebarang masalah pada bahagian keronkong dan tonsilnya itu.

“Tiga orang doktor, tiga klinik saya pergi semua bagi keputusan yang sama.

"Mereka cakap tonsil saya sihat dan tidak bengkak. Merah sedikit itu biasa, kerana saya menyanyi.

"Saya makan ubat seperti biasa sehinggalah saya muntah keluar benang baru-baru ini dan itu sangat mengejutkan”

“Saya bukanlan orang yang terlalu percayakan bomoh atau ilmu hitam tetapi perkara-perkara Syirik dan Khurafat itu wujud.

"Saya bimbang jika saya ‘terkena’ permainan orang Syirik dan Khurafat kerana saya tak pernah mempunyai musuh selama ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Pada masa yang sama, Aweera turut bercerita bahawa beliau sering mengalami masalah vokal setiap kali mempunyai undangan untuk membuat persembahan pentas walaupun ketika latihan vokalnya suaranya baik sahaja.

Pun begitu, beliau akui terpaksa melanggar arahan doktor untuk berehat kerana terpaksa bekerja untuk mencari rezeki.