KUALA LUMPUR 30 Jun - Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada paras 4.4 peratus tahun ini meskipun wujud ketidaktentuan di pasaran global susulan undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit.

Ketua Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Rafael Munoz Moreno, berkata asas ekonomi negara ini kekal kukuh disokong dasar ekonomi makro yang mantap serta pengukuhan berterusan sistem perbankan yang menyokong ekonomi terus mengukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Beliau berkata, usaha Malaysia dalam memantapkan kedudukan fiskal berada dalam landasan kukuh, meskipun penurunan pendapatan berkaitan minyak susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Kami tetap mengekalkan unjuran kami (pertumbuhan ekonomi Malaysia). Unjuran pertumbuhan 4.4 peratus dibuat sebelum keputusan referendum Britain.

"Kami akan memantau secara teliti kesan Brexit. Kami tidak jangka situasi akan berubah," katanya ketika ditemui selepas pelancaran laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM): Melaksanakan Perjanjian Perdagangan oleh Bank Dunia di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim, Pengarah Negara Pengarah Negara bagi Asia Tenggara Bank Dunia, Dr Ulrich Zachau dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Saw Choo Boon.

Dalam laporan MEM: Melaksanakan Perjanjian Perdagangan, Bank Dunia berkata, pelaksanaan perjanjian perdagangan serantau baharu akan membantu Malaysia melaksanakan penstrukturan semula ekonomi utama yang diperlukan untuk memacu peralihan negara ini kepada status negara maju.

Ia berkata, Malaysia kini terbabit dalam beberapa perjanjian serantau generasi baharu, termasuk Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah (EUFTA).

Perjanjian itu dilihat mampu membantu menarik pelaburan, memacu inovasi dan peningkatan teknologi, sekali gus membuka akses pasaran untuk eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Ia juga, katanya, mampu memberi manfaat menerusi pembaharuan dalam bidang baharu yang tidak termasuk dalam perjanjian lalu, seperti dasar persaingan, pemerolehan kerajaan, pertikaian pelaburan negara dan dasar pelaburan.

Laporan itu juga mengetengahkan bahawa perjanjian perdagangan baharu mampu melonjakkan agenda pembaharuan Malaysia dalam empat bidang utama iaitu perkhidmatan, pelaburan, persaingan serta perusahaan kecil dan sederhana.