Gedung tekstil terkemuka, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading) menawarkan lelongan permaidani dan pakaian siap, dengan diskaun sehingga 85 peratus, bermula semalam hingga Selasa depan.

Pengarah Urusan Jakel Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, lelongan yang melibatkan kira-kira satu juta barang seperti permaidani, pakaian dan tudung itu dibuat di khemah jualan gergasi seluas tiga padang bola, berdekatan Jakel Shah Alam.

Katanya, sebanyak 150 jenis permaidani pelbagai pilihan, antaranya Modern Shaggy, retro, bulu kucing dan arnab, mengikut trend terkini.

“Kami sedar, ada sesetengah orang tidak suka permaidani sebab risau habuk, sebab itu kami turut menyediakan permaidani anti habuk dengan pelbagai corak moden dan menarik seperti Modern Shaggy. Permaidani ini mudah dicuci dan disimpan, serta boleh dilipat.

"Menariknya, pelanggan yang membeli sehelai permaidani, akan diberi hadiah sehelai lagi permaidani," katanya ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

Sempena lelongan itu, Mohamed Izani berkata, Jakel menawarkan lebih 100,000 pasang pakaian siap seperti baju Melayu, baju kurung dan pakaian kanak-kanak, dengan pelbagai pilihan reka bentuk dan warna.

"Ia boleh didapati dengan harga serendah RM5. Untuk baju kurung dan bermanik, ia dijual bermula RM50.

"Baju Melayu Aaron Aziz pula dijual pada harga bermula RM89 lengkap berserta samping dan butang, manakala baju kanak-kanak pula ada potongan separuh harga sehingga 85 peratus," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu merebut peluang itu untuk mendapatkan promosi menarik dalam tempoh terhad.

"Khemah ini dibuka bermula jam 10 pagi hingga 11.30 malam setiap hari. Ia dibuka sehingga malam raya.

"Selepas itu, kami akan menutup operasi khemah ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Izani menyasarkan, jualan Jakel Shah Alam akan meningkat sebanyak 30 peratus pada musim perayaan ini, berbanding hari biasa.

Lelongan tersebut turut berlangsung di semua cawangan Jakel di seluruh negara.