KUALA LUMPUR 21 Jun - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM383.2 bilion (bersamaan AS$97.4 bilion) pada 15 Jun 2016.

"Paras rizab itu mencukupi untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek," kata BNM dalam kenyataan, hari ini.

Bank Pusat berkata, komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$89.6 bilion); kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$800 juta); Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion); emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$4.4 bilion).

Aset itu termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM2.18 bilion); deposit dengan institusi kewangan (RM1.42 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM7.39 bilion); dan aset lain (RM11.70 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta); rizab (RM102.68 bilion); mata wang dalam edaran (RM90.38 bilion) dan deposit oleh institusi kewangan (RM154.05 bilion).

Selain itu, deposit Kerajaan Persekutuan (RM16.41 bilion); deposit lain-lain (RM732.14 juta); kertas BNM (RM15.10 bilion); peruntukan hak pengeluaran khas (RM7.37 bilion); dan liabiliti lain (RM21.20 bilion).