KUALA LUMPUR 20 Jun - Selaras kehendak pelanggan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengumumkan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan konsep syariah.

Dijangka dilancarkan pada 1 Januari 2017, skim yang dikenali sebagai Simpanan Shariah itu akan dibuka pendaftaran untuk ahli KWSP mulai 8 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata skim simpanan baharu itu terbuka kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

"Susulan keputusan rundingan awam yang dijalankan KWSP tahun lalu, lebih 71 peratus responden bersetuju untuk mewujudkan opsyen supaya ahli boleh memilih sama ada simpanan mereka diuruskan berdasarkan prinsip syariah.

"Oleh itu, selaras dengan kehendak semasa ahli, KWSP dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah," katanya pada Majlis Penerangan Bersama Media mengenai skim baharu itu, di sini, sebentar tadi.

Shahril berkata, KWSP memperuntukkan dana permulaan RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Katanya, pembabitan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baharu kerana lebih 45 peratus atau RM295 bilion daripada jumlah aset pelaburan agensi itu adalah patuh syariah.

"Pada masa depan, kita menjangkakan perkembangan pelaburan aset syariah tidak kurang daripada RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratys aset syariah.

"Proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Justeru, ahli yang ingin menukar skim daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari.

"Peluang pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'. Oleh itu, ahli perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember ini dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion," katanya.