KUALA LUMPUR 7 Jun - Kerajaan akan menyuntik sehingga RM1.25 bllion ke dalam Proton Holdings Bhd, menurut beberapa laporan, langkah yang bakal menjadikan kerajaan Malaysia pemegang saham terbesar syarikat kereta nasional.

Langkah itu dilakukan melalui penukaran hutang kepada saham melalui Govco Holdings Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan

Pada 2012, dana pelaburan milik kerajaan Khazanah Nasional melupuskan pegangannya sebanyak 42.74% dalam Proton kepada DRB-Hicom, dengan harga RM1.291 bilion.

Proton mencatatkan kemerosotan jualan sejak beberapa tahun, dan hanya 102,175 unit kereta berjaya dijual pada tahun lepas.

DRB-Hicom yang dikaitkan dengan taikun Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary baru-baru ini mencatatkan kerugian bersih sejumlah RM991.9 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2016.

Menurut syarikat itu, kerugian itu disebabkan prestasi teruk Proton dengan jualan kenderaan yang rendah, ditambah dengan persaingan sengit, ketidakstabilan kadar tukaran ringgit dan sentimen pengguna yang lemah.

Akhir Mac lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Proton Holdings, tiga minggu selepas dipecat sebagai penasihat Petronas, susulan kelantangan beliau menggesa penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.