KUALA LUMPUR 31 Mei - Tindakan lebih tegas perlu dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau mana-mana persatuan bola sepak lain sekiranya didapati gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah di sini, semalam ketika mengulas mengenai isu `panas' membabitkan persatuan berkenaan.

Katanya, tiada jalan lain boleh diambil untuk memastikan setiap persatuan negeri atau kelab tidak mengambil mudah soal tunggakan gaji pemain apatah lagi bagi mereka yang hanya bergantung hidup kepada bermain bola sepak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan berkata beberapa tindakan boleh dikenakan ke atas KAFA berikutan kegagalan melunaskan gaji pemain mereka.

Ini termasuk pemotongan mata, tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu pada jendela perpindahan, diturunkan ke liga bawah dan akhir sekali tidak disenaraikan untuk bertanding dalam Liga M pada musim seterusnya.

"Saya memang setuju sekiranya tindakan lebih tegas diambil sebagai pengajaran kepada semua pasukan dan bukan hanya kepada Kelantan semata-mata. Kalau tidak ambil tindakan tegas, benda sama tetap akan berulang.

"Macam mana sekali pun, tindakan tegas kena ambil. Semua keempat-empat (hukuman) itu sesuai (dikenakan ke atas KAFA). Mereka (pemain) profesional, kalau tidak dibayar gaji mereka nak makan apa?.

"Mereka tiada kerja lain, tapi nasib baik mereka masih boleh bermain dan diterima oleh pasukan lain. Kalau tidak boleh main, apa akan jadi? Benda ini memang kena ambil serius dan kita tidak mahu ia terus berulang," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar mendesak FAM dan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak berlembut dalam mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pasukan yang gagal menjelaskan gaji kepada pemain mereka.

Sebagai rekod, Pahang pernah dikenakan hukuman pemotongan enam mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import mereka, Mohamed Borji berjumlah AS$125,000 (RM537,435) selain gelaran naib juara Liga Super dilucutkan.

Bagi Kelantan pula, selain tunggakan gaji bekas lima pemain, KAFA turut berdepan tunggakan gaji bekas pemain import, Gilmar da Silva yang berjumlah USD89,000 (RM357,246).