KUNSHAN 16 Mei - Skuad lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan ke atas England 4-1 dalam aksi sulung Kumpulan C kempen Piala Thomas, tengah malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia hanya perlu menang ke atas Jerman esok bagi menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik sebelum membuat perhitungan dengan Korea Selatan yang dijangka menjadi aksi penentuan bagi gelaran juara kumpulan, Rabu ini.

Mata pertama skuad negara disumbangkan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Toby Penty 21-15, 21-11 sebelum beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong melebarkan kedudukan dengan mata kedua hasil kemenangan ke atas Marcus Ellis-Chris Langridge 21-12, 21-17.

"Kami hanya diberi peluang sekali menjalani latihan selama sejam di gelanggang kejohanan semalam. Jadi, hari ini saya masih lagi dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang tetapi apa yang paling penting adalah saya memberi mata pertama kepada pasukan," kata Chong Wei.

"Saya harap dapat beraksi lebih baik pada pertemuan dengan Jerman termasuk rakan-rakan yang lain untuk kita mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal".

Chong Wei Feng memberi mata ketiga selepas menewaskan Sam Parson 21-10, 21-10 namun Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas kepada Peter Briggs-Tom Wolfenden 18-21, 21-13, 17-21.

Perseorangan ketiga, Goh Soon Huat memberi mata keempat buat Malaysia apabila mengatasi Alex Lane 21-15, 19-21, 21-13.