SEPANG 11 Mei - Perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi mengakui bakal berdepan kesukaran mengekalkan rekod bersih edisi lalu apabila turun beraksi pada saingan Piala Uber di Kunshan, China bermula Ahad ini.

Dalam penampilan Piala Uber sebelum ini pada 2014, Jing Yi menampilkan persembahan meyakinkan apabila menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan meskipun perjalanan skuad negara terkandas awal.

Namun, hasrat pemain yang menghuni ranking ke-29 dunia itu untuk mengulangi pencapaian terbabit tampak sukar apabila dijangka bertemu jaguh seperti Carolina Marin dan Li Xuerui selepas mereka diundi dalam Kumpulan A bersama-sama China, Denmark dan Sepanyol.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tetap berjanji akan memberi yang terbaik sambil menegaskan betapa persiapan rapi menjalani kem latihan pusat selama 10 hari sedikit sebanyak membantu.

"Persiapan kali ini sangat rapi kerana kami dikerah selama lebih seminggu melalui kem latihan pusat dan saya sudah bersedia untuk berjuang," katanya ketika ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Barisan pemain negara berlepas Kunshan, China semalam dengan menaiki pesawat MH388 ke Shanghai.

Malah, rekod Jing Yi sepanjang tahun ini juga tidak menyebelahinya apatah lagi dia sehingga kini sekadar mengutip satu kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir.

Mengulas mengenai lawan akan ditemui dalam Kumpulan A yang dianggap sebagai kumpulan maut, Jing Yi berkata Malaysia harus memanfaatkan pertemuan berdepan Denmark dan Sepanyol jika ingin mara lebih jauh.

"Pertemuan menentang Denmark 50-50 dan Sepanyol juga kelebihan juga lebih memihak kepada kita cuma kerana mereka berharap pada perseorangan utama Carolina Marin, China memang sukar," katanya.

Sasaran realistik untuk skuad Uber negara adalah mara sehingga suku akhir selepas tidak pernah menjuarainya.

Selain Jing Yi turut berada dalam skuad Piala Uber ialah Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Alicia Anscelly-Goh Liu Ying (beregu wanita).