YAOUNDE 10 Mei - Penjaga gol wanita pasukan divisyen pertama Cameroon, Jeanine Christelle Djomnan maut selepas rebah sebelum perlawanan, umum Persekutuan Bola Sepak Cameroon (CAF), semalam.

Tragedi menyedihkan itu hadir kurang 48 jam selepas kematian tragik seorang lagi pemain negara itu, Patrick Ekeng yang beraksi bersama kelab Romania.

Pemain berusia 26 tahun itu merasa kurang sihat ketika sesi pemanas badan sebelum perlawanan bersama kelab Femina Stars Ebolowa, pada Ahad sebelum rebah dengan punca kematiannya masih belum diketahui ketika badan induk itu sedang menunggu laporan perubatan yang akan dikeluarkan.

Kematian Jeanine bagaikan menyusuli tragedi yang berlaku kepada pemain kebangsaan Cameroon, Ekeng yang tumbang ketika perlawanan liga utama Romania bersama kelab Dinamo Bucharest.

Ekeng yang juga berusia 26 tahun tumbang ke padang tanpa disentuh pemain lain ketika minit ke-70 perlawanan menentang Viitorul, tujuh minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dia dikejarkan ke hospital namun doktor gagal menyelamatkannya.

Kematian Djomnang dan Ekeng membawa bola sepak Cameroon kembali berkabung, 13 tahun selepas kematian Marc-Vivien Foe pada usia 28 ketika perlawanan separuh akhir Piala Konfederasi 2003 menentang Colombia di Lyon, Perancis. - AFP