LONDON 4 Mei - Liverpool akan melayan kunjungan pasukan La Liga, Villarreal pada separuh akhir kedua Liga Europa awal pagi Jumaat ini tatkala mereka berharap dapat menterbalikkan defisit 0-1 pada aksi pertama, sebelum ini.

Kekalahan 1-3 kepada Swansea dalam aksi domestik di Stadium Liberty Ahad lalu menghampakan Jurgen Klopp, namun pengendali itu tetap yakin betapa Liverpool mampu pantas bangkit daripada kekecewaan.

"Kita perlu menerimanya (keputusan itu) kerana prestasi pasukan tidak cukup bagus," kata Klopp.

"Saya memang kecewa, kami bermain corak permainan yang biasa diterapkan dalam 90 minit perlawanan, kami mampu memenanginya tetapi kami tidak melakukannya dan itu adalah puncanya.

"Kami kembali merapatkan kedudukan dengan 2-1 tetapi apabila gawang dibolosi sekali lagi, gol itu tampak terlalu mudah, mudah buat Swansea. Saya bukan mencari alasan dan saya fikir kami boleh bermain dengan lebih baik lagi.

"Kami bermain seperti biasa dan saya lihat untuk keseluruhan 90 minit dan di situ tak ada pun sesuatu yang menggembirakan saya.

"Kami perlu memikirkan semula mengenainya dan perlu bangkit, itu yang utama dan pasukan akan bermain lebih baik daripada apa yang dilakukan Ahad lalu." - Agensi