LANGKAWI 29 Mei - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangi bertembung sebuah jentolak di Jalan Ulu Melaka berhampiran Sekolah Rendah Darul Ulum di sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu jam 2.30 petang, Muhammad Anas Mohd Noor, 14, dari Kampung Perana, di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Padang Gaong ke Makam Mahsuri sebelum terbabas sendiri ke laluan kanan dan bertembung dengan sebuah jentolak dari arah bertentangan.

Berikutan nahas itu, mangsa dilaporkan cedera parah di kepala, dada dan anggota badan, mati di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu jentolak itu yang berusia 41 tahun tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.