KUALA LUMPUR 26 Mei - Enam lelaki berusia 19 hingga 34 tahun ditahan polis Isnin lalu di Gombak dan Sentul selepas didapati terbabit kes samun kedai serbaneka dan curi motosikal.

Polis mendapat laporan daripada pekerja kedai serbaneka di Setapak bahawa premis berkenaan disamun dua lelaki menggunakan parang jam 8 pagi 14 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, bertindak atas laporan berkenaan pihaknya menjalankan siasatan dan melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Gombak.

"Pemeriksaan menemui sebuah rangka motosikal yang dilaporkan hilang di Setapak dalam rumah berkenaan dan kami menahan lima lelaki yang berada di lokasi.

"Soal siasat kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Sentul. Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.