KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan ahli parlimen BN Datuk Bung Moktar Radin sebagai emosional apabila mencadangkan agar pihak berkuasa menembak penagih dan pengedar dadah di negara ini.

Katanya, apa saja tindakan yang mahu diambil oleh pihak berkuasa harus berlandaskan undang-undang dan peraturan.

"Saya rasa MP Kinabatangan ini dia emosional.

"Kita tak boleh emosional dalam memberi pandangan dan apa jua tindakan. Apa-apa tindakan mesti berlandaskan peraturan dan undang-undang," kata Khalid pada sidang media di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Bung Moktar semalam mencadangkan penyelesaian drastik bagi membendung masalah salah guna dadah di negara ini.

Beliau mengketengahkan cara Brazil menangani masalah itu tanpa membawanya ke mahkamah, tetapi mengarahkan polis yang menyamar supaya menembak penagih dan pengedar dadah.

Hasilnya, kata Bung masalah itu selesai.

Bung berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Antidadah Kebangsaan 2016 di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Khalid berkata cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan selain tidak mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di negara ini.

"Saya tak tahu sama ada betul ke Brazil buat begitu. Sudah semestinya (undang-undang) tak sesuai kerana tidak mengikut peraturan dan undang-undang serta tidak boleh dilaksanakan di negara kita," katanya.

Terdahulu Khalid menghadiri majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan serah terima tugas jawatan pengarah serta pengerusi Perkep jabatan KDNKA, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bukit Aman, Kuala Lumpur.