SHAH ALAM 17 Mei - Seorang lelaki yang pernah disabit kesalahan kerana menyebarkan ajaran sesat selain mendakwa dirinya Rasul Melayu dibebaskan dengan parol.

Abdul Kahar, 66, sebelum ini dijatuhi hukuman 10 tahun penjara, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Pada tahun 2009 dia ditahan kerana mendakwa dirinya Rasul Melayu dan menyebarkan ajaran sesat bagaimanapun mengakui sudah bertaubat.

Dia juga menandatangani Dokumen Pengisytiharan Taubat dalam satu majlis anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Pusat Rawatan Islam Al-Manarah, Kuang.

Majlis tersebut disaksikan oleh Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin serta Ahli MAIS, Prof Dr Mujaini Tarimin.

“Beliau juga melahirkan rasa kesalnya terhadap apa yang pernah dilakukan selain nekad tidak akan mengulangi lagi kesalahan lampau.

“Beliau memohon maaf kepada Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri dan umat Islam yang terguris hati serta terkeliru dengan ajaran salah yang dibawanya,” kata Bakhtiar, seperti yang dilapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Abdul Kahar juga memohon masyarakat dan media tidak lagi merujuknya sebagai Rasul Melayu demi menjaga kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.