KUALA LUMPUR 12 Mei - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa isu berhubung dakwaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bahawa pergerakan baginda sedang dipantau pasukan polis cawangan khas (special branch) hanyalah satu salah faham.

Khalid berkata beliau juga telah menghadap Tunku Ismail pagi tadi bagi memperjelaskan perkara berkenaan kepada baginda.

"Pagi tadi saya pergi menghadap Tunku Mahkota Johor dan sebenarnya ini adalah satu salah faham. Itu sahaja yang ingin saya katakan. Saya telah memperjelaskan isu ini kepada Tuanku dan tidak timbul masalah.

"Ia adalah salah faham kecil, itu sebabnya Tunku melakukan 'posting' sedemikian, saya telah menghadap baginda dan memperbetulkan salah faham itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Ragbi Piala RujiRawongse 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Semalam, Tunku Ismail, mendakwa perbualan baginda "dicuri dengar" serta pergerakannya sedang "dipantau" oleh pasukan special branch.

Kenyataan berkenaan isu itu dibuat oleh baginda dalam satu temu bual mengenai pusingan akhir piala FA menerusi laman facebook rasminya, Johor Southern Tigers.