KUCHING 11 Mei - Mayat juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas dituntut anak saudaranya di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) jam 1.15 tengah hari tadi.

Abu mayat akan diterbangkan ke Marikina City, Filipina secepat mungkin selepas upacara pembakaran selesai di Bau, di sini.

Anak saudaranya, Rhegel Raagas Serafin, 31, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terbabit dalam operasi pencarian bapa saudaranya.

"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana berusaha mencari pakcik saya sehingga mayatnya ditemui," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HUS, hari ini.

Petang Khamis lalu, helikopter Eurocopter AS350B yang dipandu Rudolf terhempas di kawasan Sebuyau dan mengorbankan lima lagi penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.