IPOH 5 Mei - Seorang tahanan reman lelaki ditemukan mati dalam keadaan tergantung di dalam lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Siput semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata lelaki berumur 39 tahun itu ditemui kira-kira jam 12.10 tengah hari, ketika anggota polis membuat rondaan rutin di lokap berkenaan.

“Tahanan ditemukan tergantung dengan menggunakan baju T yang dibekalkan kepadanya dan inkuiri dibuat koroner dari Mahkamah Majistret Sungai Siput.

“Berdasarkan bedah siasat, kematian tahanan berkenaan disebabkan ‘neck compression due to hanging’ dan tiada kecederaan lain ditemui,” katanya.

Hasnan berkata ketika kejadian, mangsa yang ditahan pada 2 Mei lalu atas kesalahan dadah, berseorangan di dalam lokap.

Katanya, si mati yang ditahan reman mulai Selasa sehingga 16 Mei depan turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau melibatkan dadah.