KAPIT 4 Mei - Seperti mana DAP mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang, parti itu juga yakin dapat menawan kerajaan negeri Sarawak pada pilihan raya negeri yang akan datang, seawal-awalnya 2021.

Begitulah keyakinan yang dinyatakan Penasihat DAP Lim Kit Siang sekiranya DAP dapat menawan bukan sahaja kerusi bandar tetapi juga kerusi di kawasan pedalaman seperti Kapit, Pakan, malah Mulu dan juga Murum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

"Sekiranya kami menang bukan sahaja di kerusi bandar seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu tetapi juga di kawasan pedalaman seperti Kapit, Pakan, Semangan, Tasik Biru, Mambong, Serian, malah Mulu dan juga Murum, saya pasti keadaan ini dapat menyediakan DAP untuk mengambil alih kerajaan negeri Sarawak dalam PRN akan datang pada 2021, seperti mana DAP menawan kerajaan negeri Pulau Pinang dahulu," katanya memetik laporan Astro Awani selepas mengadakan ceramah di Rumah Panjang Empawi di sini pada Isnin.

Biarpun mengakui tidak dapat menafikan dua per tiga kerusi BN pada PRN kali ini, namun beliau tetap mensasarkan kemenangan sehingga 20 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini.

"Pastinya secara ideal, kami ingin menafikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem majoriti dua pertiga kerusi. Ini bermaksud kami perlu menawan 28 kerusi tetapi saya melihat itu adalah cabaran yang terlalu tinggi. Jadi saya berharap kita boleh menang sekurang-kurangnya 20 kerusi," katanya.

Sebelum ini Kit Siang, mendakwa selain mengekalkan 12 kerusi majoriti Cina yang dimenanginya pada PRN Sarawak 2011, DAP juga mampu menawan kerusi bukan lagi majoriti Cina malah etnik Dayak seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.