GEORGETOWN 4 Mei - Polis sudah mengenal pasti sekumpulan lelaki yang terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar di Jalan Estate, Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghaffar Rejab, berkata pihaknya dalam usaha menahan sekumpulan lelaki yang dipercayai menyerang mangsa dalam kejadian itu kira-kira jam 7 pagi.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian kita percaya kumpulan suspek berada dalam pengaruh alkohol sebelum mereka menyerang mangsa dan rakannya.

"Kita yakin akan dapat menahan semua suspek dalam tempoh terdekat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pagi tadi.

Dalam kejadian semalam, seorang pekerja kebun cili berusia 20-an maut selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki, manakala rakannya cedera parah dan masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam.