KUALA LUMPUR 4 Mei - Seorang rakyat Malaysia dan tiga warga asing hilang di perairan Kudat, Sabah, Isnin lalu.

The New Straits Times Online melaporkan, empat mangsa itu ialah dua warga Sepanyol, David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel, seorang warga China, Lam Wai Yin yang mengemudi bot itu dan seorang wanita Malaysia.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Pulau Balambangan di Banggi ke Simpang Mengayau.

Laporan itu memetik Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som sebagai berkata, kumpulan itu meninggalkan Pulau Balambangan pada jam 5.30 petang Isnin dan sepatutnya tiba di destinasi pada jam 8 malam.

Pemilik bot bertindak membuat laporan polis, selepas empat individu itu tidak tiba di destinasi dan mereka gagal dihubungi sehingga pagi semalam.

Mohd Zubil tidak menolak kemungkinan bot terbabit mengalami kerosakan akibat cuaca buruk dan laut bergelora.

Sin Chew Daily memetik Mohd Zubil sebagai berkata, bot yang dinaiki kumpulan itu dipercayai menghadapi masalah enjin menyebabkan mereka terkandas di tengah laut dan buat masa ini, tiada petanda menunjukkan mereka diculik.

Pihak berkuasa berkaitan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin telah menggerakkan enam kapal untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat semalam, manakala helikopter milik APMM juga akan menyertai operasi itu hari ini.