KUALA LUMPUR 3 Mei - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kereta dipercayai milik Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang dijumpai terbakar di Hutan Melintang, Perak, dibakar dengan sengaja menggunakan petrol dan bukannya terbakar secara kemalangan.

Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Perak, Khairul Anuar Abdul Aziz, 47, berkata ini berdasarkan kesan petrol yang dikesan pada bahagian dalam dan luar kereta itu.

"Berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dilakukan, saya berpendapat bahawa kereta tersebut telah dibakar dengan sengaja menggunakan petrol sebagai bahan penggalak kebakaran.

"Sekiranya kereta itu terbakar secara kemalangan, kesan petrol tidak mungkin dijumpai pada bahagian kabin (dalam) kereta," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari kelapan kes pembunuhan Kevin Morais.

Beliau berkata, kesan kehadiran petrol itu diperoleh pada sampel yang diambilnya sendiri dari tempat duduk penumpang sebelah kanan dan kiri, tempat letak kaki pemandu dan tempat letak kaki penumpang hadapan.

Khairul Anuar yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai ahli kimia, berkata kereta itu terbakar 100 peratus ketika pertama kali beliau melihatnya di Balai Polis Hutan Melintang, Perak pada 7 September 2015.

"Pada pengamatan kali pertama, tidak dapat dipastikan jenis kereta itu tetapi selepas membuat pemeriksaan lanjut saya mendapati ia adalah sebuah kereta Proton Perdana," katanya.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin sama ada petrol disimbah atau dituang ke atas kereta itu, Khairul Anuar berkata beliau tidak dapat memastikannya kerana kereta itu sudah terbakar keseluruhannya.

Mengakui bahawa nombor casis dan nombor enjin bagi setiap kenderaan adalah unik, saksi pendakwaan ke-13 itu memaklumkan terdapat satu lubang pada kawasan yang kebiasaan diletakkan nombor casis pada panel belakang ruangan enjin kereta itu.

"Lubang itu saya dapati akibat daripada pemotongan panel dan dibuangkan bahagian panel tersebut. Bentuk potongan itu lebih kurang bersaiz 15 sentimeter (cm) panjang dan 5cm lebar.

"Oleh itu, saya tidak dapat melakukan pemeriksaan ke atas nombor casis itu," katanya, selain turut memaklumkan terdapat kesan kikisan yang dalam pada nombor enjin kereta itu sehingga ia tidak dapat dilihat dengan jelas.

Beliau bagaimanapun memaklumkan nombor enjin tersebut adalah dalam format dua barisan iaitu atas dan bawah.

"Pada barisan atas, saya dapati digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu sama ada digit tiga atau lapan manakala pada barisan bawah saya dapati satu digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu digit lima.

"Selepas proses elektrokimia, saya tidak menjumpai sebarang huruf atau digit yang baharu di kawasan nombor enjin tersebut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizam Ahmad, 29, memaklumkan beliau pergi ke tempat kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang pada 12.50 tengah hari 5 September 2015 selepas mendapat maklumat mengenai kereta terbakar itu.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, beliau melihat sebuah kereta yang terbakar selepas melalui jalan masuk ke ladang itu, lebih kurang dua kilometer dari jalan besar Sabak Bernam-Hutan Melintang.

Menjawab soalan peguam V Rajehgopal semasa pemeriksaan balas, Mohd Nizam berkata laporan mengenai kereta terbakar itu dibuat melalui panggilan telefon oleh orang awam yang tinggal berdekatan tempat kejadian.

Enam lelaki - G Gunasekaran, 48; R Dinishwaran, 24; AK Thinesh Kumar, 23; M Vishwanath, 26; S Nimalan, 23; dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kol Dr R Kunaseegaran, 53, yang juga tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.