KOTA TINGGI 3 Mei - Seorang remaja maut selepas motosikal jenis Demak 120 ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Kancil, di Kilometer 6, Jalan Sedili Kecil, Kuala Sedili kira-kira 500 meter dari persimpangan Kampung Seri Baya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.16 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhamad Amirul Rusdi Chiril Azhar, 19, beralamat di Felda Adela maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa cuba memotong Perodua Kancil, yang menghala ke Pekan Sedili sebelum bergesel lalu hilang kawalan dan terbabas di laluan bertentangan.

"Ekoran itu penunggang motosikal tercampak dan melanggar tiang elektrik, manakala motosikalnya tercampak ke dalam semak.

"Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian adalah jalan dua hala lurus dan mempunyai garisan putih putus-putus di tengah jalan.

Katanya, keadaan permukaan jalan kering dan cuaca baik manakala kawasan persekitaran adalah perkampungan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.